Detik tenat dan nazak kematian merupakan saat perpisahan seseorang dengan keluarganya, hartanya dan dunia fana' ini seluruhnya. Saat seperti ini, biasanya digunakan oleh orang yang hampir mati untuk menyampaikan pesanan terakhir atau wasiat penting. Biasanya wasiat yang disampaikan adalah berkenaan harta peninggalan, tanah pusaka atau hak-hak yang belum selesai. Sebagai keluarga muslim, barangkali kita beranggapan bahawa persoalan agama, akidah dan ibadah sudah dikira selesai. Lalu fokus diberi kepada soal lain melibatkan hal-hal keluarga atau harta. Namun, Al-Quran mengajar kita supaya persoalan akidah diberi keutamaan, walaupun dalam keluarga seorang nabi; nabi Yaakub a.s. Bahkan, bapanya Ishak dan datuknya Ibrahim juga adalah nabi. Logiknya, dalam sebuah keluarga nabi atau ulama', didikan akidah sudah selesai di peringkat awal atau kanak-kanak lagi. Apatah lagi keluarga nabi, yang diasuh oleh bapa dan datuknya yang juga nabi. Bahkan, salah seorang anak nabi Yaakub a.s. juga adalah nabi, nabi Yusuf a.s. Namun, soal akidah masih ditekankan di saat akhir hidup nabi Yaakub a.s. Tentunya juga, di saat anak-anak itu sudah dewasa dan sudah diasuh sekian lama. Baca selanjutnya
