Apabila kita menyorot kembali suasana anak-anak muda dewasa ini, berapa peratuskah yang hadir ke masjid, menutup aurat sempurna, berapa peratus yang solat lima waktu, berakhlak mulia, berpelajaran, bekerjaya dan yang menyumbang kepada kerja-kerja amal ke arah pembangunan manusia? Demi kesinambungan Negara kita dan jaminan pada waktu yang mendatang dapat dipertahankan, tidak cukup hanya kita melihat ramainya golongan terpelajar masuk ke universiti tetapi hampa agamanya. Tidak cukup kita melihat ramainya golongan cerdik pandai tetapi nilai integritinya tersisih ke tepi. Tidak hanya kita melihat kemajuan dan pembangunan fizikalnya hebat tetapi pembangunan rohani dan akhlaknya tercicir dan hilang.
![]() |
Masa MUDA MU ke mana? |
Oleh itu sepatutnya para pemuda harus berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi untuk menyelamat dan menunaikan hak-hak umat dengan sempurna. Kita tidak mahu melihat generasi muda memilih sikap terlalu selesa sehingga tidak mahu berfikir dan berbuat apa-apa, sedangkan kewajipan menegakkan Islam dan menegakkan akidah Islam itu perlu dilaksanakan.
"Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan serta mengembangkan agama mereka yang telah diredhai-Nya untuk mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan". Surah an-Nur ayat 55