Rasulullah s.a.w telah membuktikan bagaimana baginda telah berjaya menyatupadukan dan mewujudkan persefahaman di kalangan masyarakat Islam Madinah melalui persaudaraan berlandaskan aqidah. Sebelum kedatangannya, kabilah-kabilah Arab seperti Aus, Khazraj, bahkan kaum yahudi dan lain-lain pada ketika itu saling bertelagah sesama mereka. Mereka lebih mengutamakan assabiah dan perkauman sehingga seringkali terjadi peperangan hanya disebabkan oleh perkara-perkara yang kecil. Namun akhirnya, perbalahan ini telah berjaya diselesaikan oleh baginda dengan cara mempersaudarakan umat Islam dan membina masjid sebagai lambang perpaduan mereka. Baginda juga mengadakan perjanjian dengan kaum Yahudi agar sama-sama mempertahankan kota Madinah dari sebarang ancaman musuh. Usaha-usaha yang dilakukan oleh baginda ini akhirnya telah menjadikan masyarakat Madinah hidup dalam aman dan saling hormat menghormati di antara satu sama lain.
Selain itu, perbincangan dengan cara yang baik juga dapat melahirkan persefahaman di kalangan semua pihak. Perkara ini telah diperjelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Ankabut ayat 46;"Janganlah kamu berdebat dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali orang yang berlaku zalim antara mereka dan katakanlah: "Kami beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami dan kepada kamu. Tuhan kami dan Tuhan kamu, adalah Satu dan kepada-Nyalah, kami berserah diri".
Perbahasan atau perbincangan yang baik hendaklah diiringi dengan hati yang terbuka dan menumpukan kepada tujuan utama, iaitu untuk mencari titik persamaan yang dapat menyatukan pandangan semua pihak. Dalam masa yang sama, sikap bertolak ansur juga amat dituntut agar perbincangan dapat dijalankan dalam suasana yang penuh harmoni. Sifat-sifat yang tidak baik seperti sifat ego, bangga dengan kelebihan yang ada dan sikap meninggi diri hendaklah dihindari daripada menguasai pemikiran kita. Perkara yang buruk perlu dijauhkan daripada hati sanubari demi maslahah yang lebih utama iaitu untuk mencari kesepakatan dan mencapai persefahaman ummah yang kukuh. Baca selanjutnya