Sedarlah, bahawa musuh-musuh Islam sejak dahulu sentiasa bersatu dalam memerangi umat Islam walaupun mereka berlainan agama, bangsa dan keturunan. Mereka sanggup melakukan apa sahaja membelanjakan jutaan ringgit semata-mata untuk menyesatkan dan menyelewengkan umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar. Malangnya kesatuan sebegini tidak wujud di kalangan Negara-negara umat Islam. Hatta dalam isu Palestin pun umat Islam masih lagi bertelagah apatah lagi dalam isu-isu yang lain. Ingatlah perpecahan di kalangan kita akan menghalang kemenangan dan memudahkan penguasaan musuh.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 46;
"...Janganlah kamu saling berbantah, lalu menyebabkan kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan..."
Oleh itu, marilah kita kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah kerana jika kita meletakkan Al-Quran dan As-sunnah mengatasi segala-galanya maka sudah pasti kita tidak akan dihina dan diperlekehkan oleh musuh-musuh Islam. Kita juga hendaklah terus berbangga menjadi orang Islam, memiliki Al-Quran sebagai panduan dan hidayah, menjadi umat yang berpegang dengan ajaran Islam yang kekal sehingga ke akhir hayat. Yakinilah dengan kebenaran Islam pasti pertolongan dan kemenangan daripada Allah akan menyebelahi kita. Allah SWT pasti akan menolong hambanya yang beriman. Ingatlah bagaimana Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya tidak mempunyai kekuatan persenjataan tetapi mencapai kemenangan dengan kekuatan iman mereka. Baca selanjutnya