Tugas guru dalam Islam adalah amat penting dan tidak boleh dipisahkan dengan tugas sebagai seorang pendakwah. Terdapat berbagai istilah yang dikaitkan dengan pendidik di dalam Islam yang dibincangkan oleh pakar-pakar pendidikan dalam Islam. Istilah "muallim", "Muddaris", "muaddib", "mursyid" dan "murabbi" yang kesemuanya itu merujuk kepada peranan dan penglibatan guru terhadap usaha-usaha membentuk para pelajar. Istilah-istilah tersebut bukan sahaja sekadar guru sebagai penyampai ilmu tetapi guru-guru yang cemerlang akan memberikan sepenuh kasih sayang kepada anak-anak murid mereka sebagaimana mereka menyayangi anak mereka sendiri.
Kehidupan umat Islam di dunia yang serba moden ini telah menyebabkan umat Islam semakin tercabar dengan pelbagai aspek kehidupan. Aspek akidah yang menjadi teras pegangan umat Islam juga terancam dengan wujudnya berbagai fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar. Oleh itu, pendidikan merupakan kaedah yang terbaik dalam membendung masalah yang dihadapi oleh masyarakat pada masa kini. Pendidikan dalam Islam bertujuan untuk membangunkan manusia menjadi insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Pendidikan yang sempurna akan terhasil jika manusia yang dididik mempunyai akhlak yang terpuji dan patuh kepada segala perintah Allah SWT. Ini memerlukan kepada satu sistem pendidikan berlandaskan kepada akidah Islamiah.
Dalam pelaksanaan pendidikan di sekolah, peranan semua guru adalah amat penting. Guru-guru yang mempunyai kesungguhan dan mempunyai keimanan tinggi akan dapat mendidik generasi Islam yang menghayati ajaran Islam yang sebenar. Baca Selanjutnya