Daripada Amru Ibn al-Ash r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sampaikanlah apa-apa daripada ku walaupun satu ayat" - Riwayat Bukhari
Berbagai-bagai cara boleh digunakan untuk kita menunaikan tanggungjawab berdakwah, bersesuaian dengan peredaran zaman yang semakin mencabar pada hari ini. Dakwah masa kini tidak lagi sekadar ceramah atau kuliah-kuliah di masjid sahaja, bahkan ianya melangkaui dunia tanpa sempadan dengan penggunaan alat-alat elektronik seperti televisyen, internet, media cetak dan sebagainya. Kemudahan-kemudahan seperti ini boleh digunakan sebagai perantaraan untuk menyampaikan mesej dakwah. Golongan penggiat seni misalnya, boleh menyampaikan mesej dakwah mereka melalui saluran televisyen. Mereka boleh menerbitkan cerita yang mempunyai unsur-unsur dakwah dan nasihat-nasihat yang baik untuk disajikan kepada para penonton. Mereka juga boleh menerbitkan rancangan-rancangan hiburan yang dapat mendidik jiwa anak-anak muda selanjutnya mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT.
Manakala mereka yang tidak mempunyai kemampuan ini samada golongan pekerja, pemimpin-pemimpin masyarakat dan lain-lain boleh menggunakan perantaraan internet, media cetak dan sebagainya untuk menyampaikan mesej dakwah mereka. Apa yang penting, cara yang digunakan mestilah sesuai dengan golongan sasar dakwah agar apa yang disampaikan akan menjadi lebih berkesan.