Antara nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT terhadap hambanya di muka bumi ini adalah nikmat keamanan dan kesejahteraan. Kedua-dua nikmat ini mampu membawa hambanya ke arah kehidupan yang harmoni dan kemajuan yang tidak terhingga nilainya. Kita sebagai umat Islam perlu menyedari bahawa memelihara keamanan dan memupuk kesejahteraan adalah suatu yang amat dituntut oleh agama. Memelihara keamanan dan memupuk kesejahteraan perlulah dilaksanakan dalam kehidupan kita seharian tanpa mengira status sosial, pegangan agama, fahaman, bangsa atau keturunan.
Sebagai seorang muslim, kita perlu sedar bahawa membentuk kehidupan individu, keluarga dan masyarakat yang aman dan sejahtera merupakan sunnah para nabi. Ini dapat dihayati melalui kisah nabi Allah Ibrahim seawal beliau sampai ke bumi Mekah al-Mukarramah. Nabi Allah Ibrahim a.s lantas berdoa kepada Allah SWT supaya menganugerakan keamanan dan keselamatan untuk bumi Mekah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 126:
"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka..."
Ayat tersebut menjelaskan betapa Nabi Allah Ibrahim menyedari kepentingan nikmat keamanan itu dalam kehidupan sesebuah keluarga. Beliau bukan sahaja mendoakan keamanan untuk ahli keluarganya sahaja bahkan juga untuk kota Mekah. Nabi Allah Ibrahim menyedari keamanan adalah lambang kesejahteraan dan kebahagiaan diri dan masyarakat. Dengan keamanan, manusia mampu mencapai segala kebahagiaan, ketenangan, kebaikan dan juga mampu melakukan pembaharuan yang diimpikan oleh manusia. Baca SELANJUTNYA