Solat merupakan rukun Islam kedua yang wajib ditunaikan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Perintah mendirikan solat ini telahpun bermula semenjak berlakunya satu peristiwa besar di dalam Islam yang dilalui oleh baginda Rasulullah SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj. Solat mestilah dilaksanakan dengan segera mengikut waktu-waktu yang telah ditentukan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah an-Nisa ayat 103 :
"Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya".
Ibadat solat mempunyai kepentingannya dan berkait rapat dengan kehidupan manusia. Di antara kepentingan solat yang dapat mempengaruhi kehidupan seharian kita ialah solat dapat membina keperibadian dan akhlak yang mulia. Ibadat solat dapat mempengaruhi jiwa seseorang hamba untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia. Apabila solat dapat dikerjakan secara istiqamah, maka jiwa kita akan mengalami perubahan dari satu keadaan yang buruk ke satu tahap yang lebih baik. Dengan solat, seseorang akan belajar mengenai sifat sabar, tenang, bersopan dan berlemah lembut sepanjang melakukan pekerjaan-pekerjaan solat. Secara tidak langsung, amalan ini akan dapat mendidik seseorang dan membiasakannya dengan akhlak-akhlak yang baik di dalam kehidupan sehariannya.