Membina ZURIAT


Islam amat mengambil berat dalam soal memilih pasangan hidup kerana mereka bakal dipertanggungjawabkan untuk membentuk keluarga yang benar-benar beriman kepada Allah SWT. Keluarga yang beriman pula adalah menjadi asas kepada lahirnya generasi yang bakal mewarisi kecemerlangan umat manusia pada hari ini.

Asas dalam memilih pasangan hidup telah diperjelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w  daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud; "Seseorang wanita itu dikahwini kerana empat perkara, harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahteralah hidupmu - (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, dapatlah difahami bahawa Islam telah memberikan beberapa panduan dan saranan dalam memilih pasangan hidup yang dapat menjamin kesejahteraan diri dan juga keluarga. Perkara paling penting yang disarankan ialah memilih pasangan yang sentiasa berpegang kepada ajaran agama serta berakhlak dengan akhlak yang mulia. Dalam  sebuah hadis yang lain iaitu daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

"Apabila seseorang yang baik agama dan akhlaknya meminang anakmu, maka terimalah ia, jika kamu menolaknya, maka tunggulah saat berlakunya fitnah dan kerosakan yang besar". (Riwayat at-Tirmidzi)