Allah SWT telah menetapkan setiap manusia itu pasti diuji dan tidak ada sesiapa yang dapat lari dari kenyataan hidup ini. Namun di sebalik semua ujian ini masih ada berita gembira buat hamba-hamba Allah yang terpilih, iaitu mereka yang mampu bersabar menghadapi keperitan musibah yang menimpa.
Justeru, marilah kita hayati ayat-ayat al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w, agar kita sedar betapa besar hikmah bersabar di sebalik musibah yang datang menguji kita. Antaranya ialah:
1. Sesungguhnya sabar menganugerahkan kesejahteraan, rahmat dan hidayah.
"Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya". Al-Baqarah:157
2. Sesungguhnya sabar di atas musibah menjanjikan penghapusan dosa
Rasulullah s.a.w mengingatkan kita tentang hakikat ujian dan musibah yang melanda hidup kita bahawa ia sebenarnya adalah suatu proses pembersihan dosa-dosa kita yang disusun indah oleh Allah SWT. Kita perlu menyedari hakikat ini untuk kuat menghadapi segala musibah dengan sabar dan redha.Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
"Tiada seorang mukmin yang ditimpa musibah, samada kepayahan, penyakit, kebimbangan, kesedihan, kesakitan mahupun dukacita sehingga duri yang dipijaknya melainkan semua itu pasti akan menjadi sebab Allah menghapuskan dosa-dosanya". (Riwayat Ahmad)