Imu dan KEPIMPINAN

--suatu AMANAH yg sering dinodai!
Demi memastikan pengurusan dan kepimpinan yang mendapat penilaian yang terbaik di sisi Allah SWT, serta menyelamatkan kita dari kecelakaan di akhirat, kita hendaklah melengkapkan diri dengan persiapan sebagai pemimpin. Persiapan yang paling diperlukan adalah ilmu pengetahuan, khususnya, ilmu yang berkait dengan peranan sebagai seorang pemimpin. Kita tidak sekadar mempunyai kemahiran teknikal dan pengurusan yang berkaitan dengan bidang kita sahaja. Ini kerana, kesudahannya kelak, kita bukan disoal oleh majikan, rakyat, ketua, juruaudit. Bahkan kita akan disoal oleh Allah yang mencipta kita dan yang meletakkan kita dengan tugas-tugas tertentu sebagai salah seorang manusia yang hidup bermasyarakat.
Khalifah Umar al-Khattab telah mengingatkan kita tentang perlunya ilmu sebelum menjadi pemimpin. Beliau menegaskan: "Hendaklah kamu belajar menjadi faqih sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin" 
(Riwayat Al-Bukhari)

Keperluan mempersiapkan diri dengan ilmu ini bukan sekadar untuk menjayakan kepimpinan dan manfaat umat sahaja. Bahkan, kita lebih kerap diingatkan tentang kehancuran dan kemusnahan yang berlaku adalah natijah daripada kejahilan manusia yang menjadi pemimpin. Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
"Apabila amanah dipersia-siakan, tunggulah saat kehancuran (hari kiamat)!" Sahabat itu bertanya lagi: "Bagaimanakah amanah itu dipersia-siakan?" Jawab Baginda: "Apabila diserahkan urusan kepimpinan kepada orang yang bukan ahlinya (tidak layak), maka tunggulah saat kehancuran (hari kiamat)". (Riwayat al-Bukhari)